Friday 17 June 2011

Mengumpat antara Dosa dan Keharusan

"Saya bukan nak mengumpat, tetapi perkara yang saya sebut ini, memang benar-benar berlaku!Saya lihatnya sendiri."

"Malaslah nak dengar kata-kata dia tu, asyik nak mengata orang saje."

"Saya puasa hari ni, so tak bolehlah nak join you all bergosip."





Pernahkah anda mendengar ungkapan-ungkapan sebegini? Atau ungkapan yang hampir menyerupainya? Ungkapan-ungkapan sebegini lazimnya dikaitkan dengan mengumpat. Apakah sebenarnya  yang dimaksudkan dengan mengumpat? Adakah dikira mengumpat sekiranya apa yang diceritakan itu benar-benar berlaku? Adakah wujud mengumpat yang diharuskan?


Dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,  Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada para sahabat: "Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?" Para sahabat menjawab:"Hanya Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Rasulullah s.a.w kemudiannya menjelaskan: " Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang menyebabkan dia marah (sekiranya dia mengetahuinya)."Sahabat bertanya:'Sekiranya apa yang saya sebutkan itu benar-benar wujud, adakah dikira mengumpat juga?" Rasulullah menerangkan:  "Sekiranya apa yang kamu sebut itu benar-benar wujud (berlaku), maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa yang kamu sebut itu tidak benar, maka kamu dikira telah memfitnahnya." 
  

  • Definisi Mengumpat

 Dalam Kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi telah memperincikan maksud mengumpat iaitu:


"Kamu menyebut tentang saudaramu yang dia memarahinya sama ada perkara tersebut berkaitan degan tubuh badan, agama, dunia, dirir, fizikal, akhlak, harta, anak, ayah, pasangan, khadam, hamba, serban, baju, cara berjalan, bergerak, senyuman, masam wajah dan segala-galanya yang berkaitan dengan dirinya sama da dengan cara menyebut, menulis, isyarat mata, anggukan atau gelengan kepala dan sebagainya."


Di zaman era maklumat ini, penulisan di blog, Facebook dan sebagainya juga dikira sebagai mengumpat.Imam al-Nawawi turut mengingatkan kita di dalam bukunya agar mengelakkan diri daripada mendengar umpatan orang kerana mendengar  umpatan juga hukumnya haram. Aapabila seseorang mendengar saudaranya mengumpat, maka ia wajib melarangnya seandainya tidak memudaratkan dirinya atau berusaha menukar tajuk perbualan. Sekiranya tidak mampu, dia mestilah meninggalkan tempat tersebut atau membencinya dalam hati.

 
  • Burger Daging Manusia 


Sanggupkah saudara atau saudari makan sekiranya diberitahu bahawa burger yang ada di tangan saudara atau saudari dibuat daripada daging manusia yang telah mati? Pastinya dengan penuh jijik anda akan menolaknya. Demikian Allah membuat perumpamaan dalam al-Quran bahawa mengumpat itu umpama seseorang memakan daging saudaranya yang telah mati. 

Bahkan ketika peristiwa Isra’ Mikraj, Rasulullah s.a.w ditontonkan dengan satu situasi yang amat mengerikan iaitu satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Baginda telah bertanya kepada Jibrail: “Siapakah mereka itu?” Jibrail menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain serta mengatakan sesuatu yang tidak dia lakukan.”

                                                                                                             (Hadith Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan perumpamaan ini, para ulama menyimpulkan bahawa hukum mengumpat adalah haram dan termasuk dosa besar yang menuntut pelakunya bertaubat serta memohon kemaafan daripada orang yang diumpatnya.



  • Enam Mengumpat yang diharuskan
Dalam Kitab Ihya' Ulum al-Din, setelah Imam al-Ghazali membicarakan secara panjang lebar berkenaan larangan dan sebab-sebab manusia mengumpat dinyatakan juga enam keuzuran(situasi) yang mengharuskan kita mengumpat, iaitu:

a. mengadu kezaliman dan pengkhianatan yang berlaku

b. meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan 
   kemungkaran tersebut

c. meminta fatwa daripada mufti

d. menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang seperti mendedahkan seorang hamba yang bakal dibeli

e. memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu.

f. seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan.

Namun keenam-enam situasi ini mestilah dikawal dengan kaedah al-dararu tuqaddaru bi qadariha.  Wallahu a'lam






No comments:

Post a Comment