Friday 17 June 2011

زكر الموت يقرب المخلوق إلى خالقه


Tatkala saya menulis blog ini saya baru sahaja usai membaca sebuah buku yang saya kira amat baik untuk kita jadikan panduan. Buku berjudul Khutbah Rasulullah Wasiat Agung Buat Umat Tercinta karangan saudara Rohidzir Rais ini memghimpunkan pidato, syarahan dan teguran Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Buku yang telah disusun mengikut bab ini pasti memudahkan kita untuk lebih menghayati nasihat Rasulullah s.a.w. Hati saya amat tertarik dengan isi khutbah Rasulullah yang berkaitan kematian berjudul "Perumpamaan Dunia dan Anak Adam ketika Meninggal Dunia".Berikut merupakan isi khutbah tersebut sebagaimana yang telah direkodkan oleh ath-Thirthusi dalam bukunya Siraajul-Muluk:

Rasulullah s.a.w diriwayatkan pernah memberikan perumpamaan bagi dunia dan anak Adam ketika meninggal dunia ialah seperti seorang lelaki yang memiliki 3 orang sahabat karib. Apabila ajalnya semakin hampir, dia berkata kepada salah seorang di antara mereka,

"Saya mempunyai sahabat yang mulia dan saya sentiasa memenuhi keperluannya. Sedangkan ketentuan Allah sudah terlalu hampir dengan saya, sebagaimana yang dapat engkau lihat. Apa pandangan kamu?"

Sahabatnya menjawab,"Ini adalah ketentuan Allah yang berlaku terlebih dahulu kepada kamu. Saya tidak dapat menghilangkan kesusahanmu. Tetapi pada ketika ini saya berada dekat dengan kamu. Ambillah apa sahaja bekal yang bermanfaat kepadamu."
Setelah itu, dia berkata pula kepada sahabatnya yang kedua, "Engkau adalah sahabat saya yang paling istimewa daripada ketiga-tiga sahabat karibku. Sedangkan ketentuan Allah sudah hampir datang kepada saya, sebagaimana yang dapat engkau lihat.Apa pandangan kamu?"

Sahabatnya menjawab,"Ini adalah ketentuan Allah yang berlaku terlebih dahulu kepada kamu. Saya tidak dapat menghilangkan kesusahanmu. Tetapi  saya akan menguruskan dirimu sepanjang masa engkau sakit ini. Sekiranya engkau meninggal dunia, saya akan memandikan dan mengapankan engkau. Saya akan menutup jasadmu dan melindungi auratmu.


Kemudian, dia berkata kepada sahabatnya yang ketiga, "Ketentuan Allah akan datang kepada saya, sebagaimana yang dapat kamu perhatikan. Sedangkan engkau adalah sahabat saya yang paling saya remehkan daripada ketiga-tiga orang sahabat karib saya. Apa pandangan kamu?

Sahabatnya berkata, "Saya adalah sahabat karib kamu semasa di dunia dan akhirat. Saya akan masuk ke dalam kubur kamu ketika kamu dimasukkan ke dalamnya. Saya akan keluar dari situ apabila kamu keluar. Aku tidak mahu berpisah dengan kamu selama-lamanya. 


Para sahabat baginda bertanya siapakah gerangan ketiga-tiga sahabat karib lelaki tersebut, Rasulullah bersabda sahabat yang pertama adalah hartanya, yang kedua adalah keluarganya dan sahabat ketiga adalah amalannya.

Begitulah mendalamnya maksud sabda Rasulullah s.a.w...Ketika saya membaca kandungan khutbah tersebut terdetik di hati kecil saya betapa dhaifnya diri saya. Tanpa disedari air mata keinsafan mengalir. Keinsafan mulai membajai hati saya bila mengenangkan betapa tidak berertinya harta dan keluarga di saat tibanya saat kematian. Amal ibadah adalah satu-satunya perkara yang akan kita bawa bersama ketika menemui tuhan yang Maha Esa.

Saidina Ali k.w.j diriwayatkan pernah berkata: "Dunia ini seumpama bangkai, sesiapa yang menginginkannya maka hendaklah bersabar bersama-sama dengan anjing."
                                                                                                      (Dipetik dari Kanzul Ummal)

Melalui kata-kata Saidina Ali kita dapat memahami bahawa dunia ini ibarat bangkai yang menjadi makanan anjing dan binatang liar. Binatang yang baik tidak mahu menjadikan bangkai sebagai makanan.Begitulah gambaran dan perumpamaan yang diberikan tentang betapa buruknya sifat manusia yang cintakan dunia.

Banyak keburukan apabila seseorang cintakan dunia dan takut dengan kematian. Antaranya ialah:

a. Dia akan berusaha mendapatkan dunia dengan apa jua cara sekalipun dengan menggunakan cara yang haram.

b. Dia sering abaikan tuntutan ibadah khususnya sholat dan lupa untuk membuat persiapan untuk kematian.

c. Orang yang cintakan dunia mati dan keras hatinya serta susah mendapat hidayah Allah bahkan tiada dalam dirinya rasa takut kepada Allah.

d. Orang yang cintakan dunia dibenci Allah dan makhluk kerana sikapnya yang sombong, tamak dan pentingkan diri.

e. Tiada kebahagiaan dalam hidupnya sama ada di dunia atau akhirat.

f. Orang yang cintakan dunia, adalah insan yang lemah, tiada prinsip dan pegangan dalam hidup serta mudah dipergunakan oleh orang lain.


Justeru itu, usahlah kita terlalu takjub dan megah dengan limpahan harta dan ramainya keluarga. Semua itu tidak dapat dibawa bersama ke alam kubur setelah seseorang itu meninggal dunia. Selain itu kita juga juga haruslah usah terlalu memburu harta kekayaan dan keturunan sehingga mengabaikan amal ibadah bagi kepentingan dan kebahagian di akhirat. Wallahu a'lam.





     
          



No comments:

Post a Comment