Friday 17 June 2011

Homoseksual Pengancam Kesejahteraan Ummah!

Allah telah menciptakan manusia di dunia yang fana ini dalam keadaan yang amat sempurna.Adam a.s sebagai makhluk manusia pertama yang diciptakan oleh Allah s.w.t telah dipasangkan dengan Hawa….. penciptaan ini adalah suatu keistimewaan dan kenikmatan yang tidak ternilai oleh manusia. Berasaskan hakikat penciptaan kehidupan pasangan yang berlainan seks, Allah melengkapkan pula rasa seronok melalui  pergaulan dan kehidupan bersama  dalam tempoh aktif manusia.

Namun akhir-akhir ini, penularan gejala seks songsang semakin serius tidak kira sama ada di luar negara mahupun di dalam negara kita sendiri. Kita seolah-olah alpa dan lupa tentang sejarah yang termaktub di dalam al-Quran mengenai kisah kaum Nabi Luth a.s. Sejarah membuktikan  manusia pernah ditimpa musibah akibat kegiatan seks songsang sebagaimana peristiwa yang menimpa kaum Nabi Luth dan juga apa yang berlaku di kota Pompei yang terletak di sebelah Timur Gunung Vesuvius, Itali. Bencana yang menimpa penduduk Pompei dikatakan hamper sama dengan apa yang pernah berlaku pada zaman Nabi Luth a.s. Hasil carigali, para ahli arkiologi telah menemui mayat penduduk Pompei dalam keadaan berpelukan menjadi batu dan diselaputi debu gunung berapi. Mereka mati dalam keadaan berpelukan sesama jantina.Hanya terdapat sedikit perbezaan antara kedua-duanya di mana kehancuran penduduk Pompei disebabkan oleh lahar panas gunung berapi  Vesuvius manakala kehancuran kaum Nabi Luth pula disebabkan oleh kematian beramai-ramai secara mengejut.

                                                              

              Isu hubungan terlarang atau homoseksual ini mendapat liputan yang meluas di dada-dada akhbar serta pelbagai media elektronik di seluruh dunia. Kisah hubungan sejenis antara sesama jantina ini kian membarah di dalam masyarakat dunia amnya dan di kalangan masyarakat Melayu yang sinonimnya beragama Islam khususnya.Kehadiran golongan ini yang dulunya mendapat kecaman dan kutukan daripada masyarakat kian mendapat tempat dan diterima   di dalam masyarakat sesuai dengan peredaran masa dan  gerakan homo sedunia. Manusia mutakhir ini telah mula menerima semula perlakuan umat Nabi Luth sebagai  amalan biasa dan sampai ke tahap mengiktiraf hubungan songsang tersebut. Jika tidak diberi kesedaran dan kefahaman yang sebenar berkenaan isu homoseksual ini ia pasti merebak dan membarah dalam kehidupan masyarakat kita. Ini kerana ia boleh merosak sendi-sendi kehidupan manusia serta boleh menghancurkan dunia ini. Ia juga membolehkan lelaki dan perempuan hidup tanpa peraturan.

               Tidak perlulah saya mengambil contoh terlalu jauh, di kalangan masyarakat kita sendiri yang rata-ratanya beragama Islam seolah-olah mengiktiraf kehadiran golongan mak nyah atau pondan sebagai mak andam. Malah puji-pujian sering diberikan kepada golongan ini atas hasil tatarias mereka kepada pasangan pengantin. Malah sudah ada pandangan jahil yang menyatakan golongan ini lebih mahir menghias daripada kaum perempuan. Tidak kurang pula munculnya golongan pengkid atau tomboy yang cuba untuk menyaingi kehebatan kaum adam di kalangan kita. Kehadiran mereka ini  seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Malah ada yang semakin berani secara terang-terangan bercumbuan di khalayak ramai dan membawa pasangan masing-masing ke rumah tanpa mempedulikan kehadiran ibubapa mereka. Di manakah hilangnya fungsi ibubapa dalam menangani gejala ini? Fungsi bapa sebagai ketua keluarga yang hadir untuk menentang segala kemungkaran seolah-olah terhapus…begitu juga fungsi ibu sebagai penasihat dan pembimbing anak-anak seolah-olah terhakis begitu sahaja….

                Secara semulajadi, manusia amat tertarik melakukan hubungan seks dengan pasangan  yang berlainan jantina.  Menurut Dr. Rumaizuddin Ghazali, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), penularan gejala homoseksual ini dipengaruhi oleh faktor persekitaran, kurangnya didikan agama, kemiskinan dan sebagainya. Namun menurut pakar psikologi pula, faktor yang menyebabkan berlakunya kegiatan  homoseks ialah biologi, psikodinamik, sosiobudaya dan persekitaran. Malah jika kita menyelusuri penyebab timbulnya keinginan untuk melakukan seks songsang di kalangan umat Nabi Luth ialah  adat yang meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi.Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa tiada seorangpun manusia dilahirkan untuk cenderung menyukai sesama jantina melainkan wujudnya faktor-faktor lain yang mempengaruhinya untuk bertindak sedemikian.

                 Tidak dapat kita nafikan betapa getirnya jalan dakwah untuk mendekati golongan ini namun marilah kita bersama-sama mengembelengkan usaha untuk menangani gejala maksiat dan penuh kemungkaran ini sebelum Allah murka dan menurunkan bala yang dahsyat kepada kita sebagaimana yang terjadi kepada penduduk kaum nabi Luth yang mendiami Sodum atau Sodom dan penduduk Kota Pompei, Itali. Kemusnahan umat Nabi Luth sepatutnya menjadi iktibar kepada kita umat  Nabi Muhammad s.a.w  di akhir zaman ini. Wallahua’lam




                





No comments:

Post a Comment